Saturday, 12 February 2011

Sedikit Renungan pada Hari Kelahiran Rasulullah S.A.W..

  Umat Islam sedang bersedia menyambut hari lahir Nabi Muhammad S.A.W. ke sekian kalinya. Dan di akhir zaman ini berbagai bentuk sambutan diadakan bagi meraikan Maulidur Rasul. Majlis yang biasa kita adakan iala seperti jamuan, tahlil, selawat, berzanji, majlis amal, perarakan dan sebagainya yang munasabah kita lakukan. Okeylah… semua majlis ini baik dan kita bersangka baik juga meminta petunjuk dari Allah agar segala apa yang kita kerjakan menjadi satu kebajikan belaka.

  Sebenarnya pengertian Maulidur Rasul ini tidak hanya setakat itu. Bukan dek kerana semua majlis itu, boleh menunjukkan kecintaan kita pada Rasul S.A.W. yang kita imani. Pengertian yang sebenar dan lebih berbentuk reality bukan sekadar majlis Maulidur Rasul bersifat pesta dan terpesong serta kosong. Bahkan ia mestilah selari dengan apa yang menjadi budaya dalam kehidupan seharian. Contohnya begini; saban hari umat kita tidak mengingati Nabi dalam kehidupannya. Solat tidak, puasa ponteng, hati dengki, tangan dan mulut melukakan orang, hati yang dengki, sombong, mengejar kemewahan secara negatif, pakaian yang tidak menepati ciri sebagai orang Islam dan sebagainya. Tiba-tiba muncul hari sambutan kelahiran Nabi diadakan perarakan dan majlis-majlis seolah-olah mengingati Nabi S.A.W. dan Ajarannya secara bermusim. Itupun Alhamdulillah kalau dibuat atau ambil bahagian. Lebih malang lagi kalau musim ini pun kita tidak mengingati Nabi S.A.W.

  Tidak salah mengingati Nabi S.A.W. bahkan kita mendapat pahala kerana membuat peringatan tentang Nabi S.A.W. Namun sambutan dan pesta memperingati Rasul S.A.W. biarlah hanya suatu sampingan kepada ingatan kuat dan kecintaan sungguh kita padanya di seluruh musim, tidak kira apa musim pun. Musim bola ke, musim tengah orang duk sibuk puja artis ke, musim orang tengah gila memberontak ke, apa musim sekalipun kita tetap ingat dengan ingatan tulus ikhlas pada Nabi S.A.W. Yang ini baru boleh kita iktiraf sebagai sambutan yang bagus. Sambutan yang lahir dari hati dan perasaan yang mendalam dan bukan hanya sekadar kulit luar semata-mata.

  Kita sebagai umat Nabi S.A.W. disyariatkan untuk mencintai Nabi lebih dari mencintai diri sendiri. Sabdanya, “tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia lebih mengasihi aku dari dirinya sendiri”. Ukuran kita mencintai Rasul S.A.W. ialah dengan ukuran pada kepentingan diri sendiri. Betapa kita mementingkan diri sendiri sekalipun, adalah mementingkan Rasul S.A.W. lebih baik dan dikira beriman. Mementingkan Rasul S.A.W. di sini ialah dalam erti kata mentaatinya dan mengerjakan segala syariatnya. “sesiapa yang mentaati aku maka dia telah mentaati Allah dan sesiapa yang derhaka padaku nescaaya dia menderhakai Allah,” sabda Rasul S.A.W.

  Maka, di mana kita sekarang, yang sedang dalam gelombang arus yang mencabar akidah dan pegangan… masih mampukah kita bergantungan dengan role model yang telah digarapkan? Atau telah hanyut ditelan badai berbisa arus kehambaran moral dan etika. Usah bicara tentang agama, cukup hanya moral dan etika yang kita ungkitkan. Di manakah moral dan etika orang kita? Adakah moral dan etika orang kita baik? Baik dalam maksud baik untuk semua-diri sendiri, masyarakat, agama, bangsa, Negara… atau moral kita sekarang sudah lari dari bentuk yang kita inginkan??? Sehingga timbul banyak masalah dan gejala seperti yang terangnya kini; bunuh, rompak, rogol, samun, zina, masalah sosial yang berbagai dan tidak kesudahan. Adakah semua ini relevan jika dikaitkan dengan pesta menyambut kelahiran Nabi S.A.W. yang kita cintai dan imani. Seolah-olah pesta dan majlis yang diadakan itu tidak mungkin dan tiada ruang lagi dalam hidup kita mengingkari syariatnya yang tegasnya menyatakan bahawa membunuh
itu haram, merompak itu haram, zina itu haram…  sekali gus segera berbuat kebajikan dengan penuh ikhlas.

  Apakah kita terlepas pandang akan punca segala itu? Atau kita hanya sekadar senyum si bisu. Tahu akan hakikat punca dan masalahnya namun bisu berbicara. Hanya sekadar senyum membantah atau membantah dalam senyum. Apa makna ini? Inilah hakikat sebuah kehidupan kita yang hidup segan nak ikut Nabi, mati tak mahu dalam kafir.

  Secara specifiknya pula kita lihat ajaran Rasul S.A.W. tidak lagi seimbang. Contohnya dalam bab pakaian, orang perempuan kita sudah tidak kenal pada syariat Nabi S.A.W. yang menyuruh berpakaian menutup aurat. Semakin hari semakin singkat, bukan singkat umur dan rasa nak buat ibadat… tapi baju dan kain yang singkat sehingga nampak pusat yang tidak rela didedahkan begitu saja. Pusat pun sebenarnya tidak redha didedahkan. Akhirat kelak ia akan persoalkan kenapa ia didedahkan. Semakin hari juga semakin ketat… bukan ketat dengan jadual ceramah agama tapi ketat pakaian anak-anak muda kita yang boleh kita lihat di mana-mana jua. Maka kalau kita lihat pada masalah pakaian tiada lagi kita ikut Nabi S.A.W. sehingga masalah ini akan membawa kepada masalah lain yang lebih besar.

  Walaupun wujud role model wanita muslimah yang bertudung litup seperti Wardina, Wahida, dan lain-lain, namun tidak mungkin manusia akan ubah secara total melainkan kita insafi dan mengkaji syariat yang dibawa Nabi S.A.W. Pernah juga suatu masa Negara digemparkan dengan cara pakaian Wardina dan Wahida. Kita lihat ramai wanita menggayakan dengan pakaian seperti mereka. Pada waktu itu, sejuk mata memandang anak-anak muda wanita kita berpakaian. Namun ikutan semata-mata dan bukan atas dasar mengikuti syariat maka tidak akan sampai ke mana melainkan pakaian tadi lusuh di ceruk rumah dan menjadi sapu kaki sehinggalah muncul hari raya dan keraian lainnya.

  Begitu juga anak-anak muda belia kita, yang menjadi kebimbangan kita. Generasi yang bakal mewarnai kemasyarakatan dan budaya kita. Kita bimbang kerana kebanyakan anak-anak muda kita tidak lagi mengenal Rasul S.A.W. Kalau mereka tidak kenal maka bagaimana nak mencintai Rasul. Bila sudah tidak mengenali Rasul S.A.W. maka kedudukan syariat Nabi S.A.W. sudah tergugat. Perkara ini sangat bahaya. Bila ajaran Islam tidak lagi diamalkan maka tunggulah saat kehancuran. Dan kita lihat sekarang, kita sedang menuju ke arah kehancuran. Kehancuran moraliti dan imej sebagai umat yang mulia. Dan seterusnya dihancurkan oleh Allah sempena kedatangan kiamat.

  Semenjak timbulnya isu keganasan yang dipelopori oleh orang Islam kononnya, timbul persoalan pada orang Barat apakah ajaran Islam itu menyuruh kea rah keganasan. Maka mereka mula mengkaji ajaran Islam. Sehingga terjemahan al-Quran habis dijual setelah beberapa kai diulang cetak. Setelah habis menganalisa isi kandungan al-Quran yang bercetak maka mereka akan pula beralih arah mencari contoh masyarakat Islam atau Negara Islam. Maka mereka akan melihat Negara kita. Pada waktu itu, apa yang dapat mereka nampak dari Negara kita? Kalau mereka pergi ke bandaraya Kuala Lumpur, apa yang boleh mereka perhatikan melainkan budaya yang semacam Negara mereka juga. terpinga-pingalah mereka dalam seribu persoalan.

  Inilah kelemahan kita sebagai umat Muhammad di Akhir Zaman ini. Indah khabar dari rupa…

  Renung-renunglah… semoga apa yang kita lakukan menjadi satu kebajikan. Pohonlah selalu agar diberi hidayah selain mencari hidayah melalui majlis ilmu dan membaca bahan agama. Jangan hanya menbutakan mata pada hakikat kehidupan kita yang semakin mendesak pada kecintaan agama dan kehidupan duniawi. 



wallhu'alam..   
 

Selamat menyambut kelahiran Nabi S.A.W. 
Selawat dan salam ke atasnya. 

No comments:

Post a Comment