Friday, 26 November 2010

Wangian Yang Disukai Rasulullah S.A.W

    
Menurut Ibn Qayyim al-Jawziyyah, wangian atau haruman adalah sesuatu yang paling serasi dengan roh. Hubungan antara wangian dan jiwa yang baik amatlah erat sekali. Wangian adalah salah satu daripada dua perkara yang paling disukai Nabi s.a.w. daripada perkara dunia. Mudah-mudahan selawat dan salam sentiasa dilimpahkan kepada Baginda.
                                     
     Pada masa yang sama, adalah makruh jika seseorang itu menolak pemberian wangian sebagaimana yang dijelaskan dalam kitab Sahih al-Bukhari, bahawasanya Rasulullah s.a.w. tidak pernah menolak wangian. Begitu juga dalam Sahih Muslim menyebut: "Sesiapa yang diberi wangian, janganlah ia menolaknya sebab wangian itu semerbak baunya dan mudah dibawa ke mana-mana."

     Dalam Musnad al-Bazzar disebutkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah itu Maha Baik dan menyukai yang baik-baik. Maha Pemurah dan menyukai kedermawanan. Maka bersihkanlah halaman rumah kamu. Janganlah menyurupai orang Yahudi, mereka mengumpulkan sampah-sampah di rumah mereka."

     Rasulullah s.a.w. pernah memuji haruman kesturi atau misk sebagaimana sebuah hadis riwayat Ahmad daripada Abu Said al-Khudri, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik haruman (buat kamu) ialah misk (kesturi).

Sandal Rasulullah

السلام عليك يا رسول الله



Abu Hurairah r.a. berkata: "Sandal Rasulullah s.a.w. menggunakan dua qibal."
                        (Riwayat al-Tirmizi dan al-Tabrani)

Menurut Imam al-Tirmizi dalam al-Syama'il dan al-Muhammadiyyah, yang dimaksudkan dengan qibal dalam hadis ini ialah pelana sandal, iaitu batas depan sandal berupa tali yang diletakkan diantara dua jari kaki.

Dipetik daripada Syamail Muhammad s.a.w. : Keperibadian Rasulullah , terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.



Thursday, 25 November 2010

Usah Dibenci Pelaku Maksiat



Diceritakan bahawa suatu ketika Nabi Isa a.s sedang berjalan bersama seorang anak muridnya. Tiba-tiba seorang lelaki yang terkenal suka melakukan maksiat mengikuti mereka dari belakang.


     Murid Nabi Isa itu menoleh ke arah orang itu dengan penuh kebencian . Lalu dia berdoa di dalam hati, "Ya Allah, janganlah Engkau himpunkan diriku bersama orang ini."


     Nabi Isa tiba-tiba menoleh kepada muridnya dan berkata, "Doamu telah dikabulkan. Allah menerima taubat orang itu dan mengusir kamu. Pergilah engkau dari sisiku."


     Kita sememangnya membenci perbuatan maksiat. Namun kebencian kita kepada maksiat tidak bererti membenci dan menghina orang yang melakukannya.


     Sering kali sikap negatif sebegini membuatkan orang semakin jauh daripada agama. Sebaliknya, kita harus membuka hati kita untuk mengasihi lalu memberi nasihat yang tulus kepadanya. Kelembutan selalunya lebih berkesan dalam mengubah orang lain daripada kekerasan atau penghinaan.